KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang mengkaji untuk melaksana program baharu pembasmian kemiskinan di beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri berkenaan, R. Sivarasa berkata langkah itu perlu diambil memandangkan negeri berkenaan dilihat kurang mendapat perhatian dari segi usaha pembasmian kemiskinan sebelum ini.
“Kerajaan komited dalam pelaksanaan program soal pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan di samping mengkaji program baharu yang boleh diperkenalkan terutama di Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak,” katanya menjawab soalan Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, antara program yang dilaksanakan ialah program perumahan rakyat termiskin, program latihan kemahiran dan kerjaya, program peningkatan pendapatan dan program keusahawan lain seperti Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah luar bandar.
Dalam pada itu, Sivarasa berkata kerajaan sedar masih ramai masyarakat Orang Asli di negara ini yang belum menikmati taraf hidup yang sesuai.
Justeru, katanya, kementerian akan menyusun pelbagai program tambahan untuk meningkatkan kebajikan dan status ekonomi mereka termasuk melalui konsultasi dengan ketua masyarakat. - Bernama
Bagikan Berita Ini
0 Response to "Program baharu basmi kemiskinan di lima negeri dikaji"
Post a Comment