SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub tidak bersetuju dengan persepsi yang mengaitkan sektor pertanian dengan kemiskinan atau menganggapnya sebagai ketinggalan.
Beliau sebaliknya berkata, perkara itu sepatutnya perlu dipandang secara relatif, bukan dari sudut naratif sebagai ukuran.
Mengambil contoh bapa mertuanya yang merupakan seorang nelayan, Salahuddin berkata, keluarga isterinya masih berupaya meneruskan kehidupan mereka.
"Bapa mertua saya ke laut, tetapi ada masa dia tidak ke laut. Dia ada tanah dan sahut seruan kerajaan untuk tanam koko. Ia menjadi satu tambah nilai dan tingkatkan hasil.
"Bapa mertua saya pergi haji guna duit (hasil) koko...anak kahwin, sekolah dan ke universiti semua pakai duit itu," katanya dalam program Bicara Minda bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.
Salahuddin berkata, beliau juga pernah bertani dan berkebun.
"Ada orang menyindir saya masa saya kata tanam nanas di belakang rumah, mereka kata inikah idea seorang Menteri Pertanian? Saya menteri Malaysia, saya Menteri Pertanian untuk Johor, Sabah.
"Nelayan di Pulau Pinang, dia berjaya, buka koperasi dan tanah terbiar dijadikan tanah kelompok dan ditanam nanas, ia berjaya sehingga dieksport ke China," katanya.
Menurutnya, persepsi negatif itu sepatutnya boleh diubah, tetapi ia bergantung kepada diri sendiri.
"Kalau kita terus rasa pertanian itu miskin, sektor tidak menjanjikan apa-apa...tapi ingat sektor ini menjadikan RM3.5 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, campur komoditi angka itu bertambah.
"Jadi saya perlu gerakkan angka itu ke hadapan, tak terperangkap dengan naratif lama, harus kumpulkan semua kekuatan yang ada dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta maju ke hadapan," katanya.
Bagikan Berita Ini
0 Response to "Jangan pandang kemiskinan dari sudut naratif"
Post a Comment